Peristiwa Hijrah Baginda s.a.w : Transformasi Diri Seorang Daie

Bismillah ar-Rahman ar-Rahim...

SIRI PENGHIJRAHAN BAGINDA S.A.W DAN PARA SAHABAT

Mengungkap sirah-sirah perjuangan Baginda s.a.w yang berjuang untuk memartabatkan agama yang benar ini ternyata penuh mehnah dan tribulasi. Namun, keyakinan Baginda s.a.w dan para sahabat atas pertolongan Allah s.w.t untuk terus mendaulatkan Islam tercinta ke pelusuk dunia membuatkan mereka berdiri teguh di atas tunjang keimanan dan ketaqwaan.

Siri-siri penolakan dan penentangan kaum Musyrikin Mekah terhadap Baginda s.a.w dan para pengikutnya diiuji dengan penyiksaan yang dahsyat dan hampir tidak tertanggung sehingga para sahabat ketika itu meminta izin kepada Baginda s.a.w untuk berhijrah dari tanah air mereka. Lantas melalui petunjuk wahyu Allah taala, mereka berpindah ke Madinah.

Justeru, bermulalah episod penghijrahan agung Baginda Rasulullah s.a.w bersama para sahabat radiyallahu ‘anhum ke Madinah demi untuk menyelamatkan akidah suci mereka disamping meneruskan perjuangan menegakkan panji Islam tanpa sebarang gangguan.

Dari tanah Tayyibah itu, Islam mula bertapak kukuh sebagai sebuah daulah Islam yang pertama. Syariat Islam yang berpandukan al-Quran dan as-Sunnah mula menjadi asas kepada pembentukan daulah tersebut.

Setelah berkorban meninggalkan tanah air yang sangat mereka cintai iaitu Mekkah, Kaum Muhajirin dan Ansar dengan dipimpin oleh Rasulullah s.a.w begitu berhasil mengamalkan ajaran Islam dengan bebas. Lebih daripada itu, mereka berjuang dengan meluaskan dakwah Islam ke luar Kota Madinah dan akhirnya cahaya kebenaran  itu  menyusup masuk ke sempadan dan meruntuhkan tembok kejahilan  negara-negara bukan Islam. Akhirnya, bersinarlah di tanah-tanah timur tengah itu dengan cahaya wahyu dari tuhan.

Ternyata berkat dari peristiwa hijrah Baginda s.a.w dan para sahabat serta penerimaan tulus Kaum Ansar  kepada saudara mereka telah membuahkan kejayaan dan keberhasilan dakwah yang telah mereka pikul.


PELAJARAN BERHARGA DARI PERISTIWA HIJRAH NABI S.A.W

Sesungguhnya tiap-tiap ketentuan Allah s.w.t itu mempunyai nilai hikmah dan pengajaran yang cukup besar kepada mereka yang mahu mencari kebenaran dan berfikir. Demikian Allah menjelaskan dalam firman-Nya:

لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لأُولِي الأَلْبَابِ مَا كَانَ حَدِيثاً يُفْتَرَى وَلَكِنْ تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَيْءٍ وَهُدىً وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ 

Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman”. (QS. Yusuf: 111)

Antara pelajaran berharga yang pertama ialah hijrah mengajar kaum Muslimin untuk mempertahankan tauhid dan keimanan mereka dengan mengorbankan apa yang mereka miliki.

Islam telah meletakkan kesucian agama dan akidah itu melebihi kepentingan lain. Justeru, mengorbankan kepentingan diri demi mempertahankan agama itu sangat-sangat dituntut. Berdasarkan peristiwa hijrah ini, kita dapat melihat pengorbanan yang cukup besar telah dilakukan oleh para sahabat semata-mata untuk mempertahankan akidah suci mereka.

Hijrah yang mereka lakukan didorong oleh kekuatan iman. Tanpa kecekalan dan kekuatan iman, belum tentu mereka sanggup untuk meninggalkan keluarga, sanak-saudara, harta-benda dan tanah air tercinta.
Firman Allah taala :

إِنَّ الَّذِينَ آَمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ

“orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta, benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.” : (QS. Attaubah : 20 )

Di dalam kitab Fiqh Sirah karangan Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti mengenai hijrah Baginda s.a.w, penulis ada menyebut tentang apalah ertinya pada harta kekayaan, pangkat kebesaran dan tanah air sekiranya akidah dan syiar agama terancam dan musnah. Justeru, Allah ‘Azza wajallah telah mewajibkan dasar mengorbankan harta dan negara  demi kepentingan akidah dan agama sekiranya keadaan memaksa.

Perngajaran kedua ialah hijrah membangunkan masyarakat penuh peradaban. Ini dapat dilihat melalui tindakan Baginda Nabi s.a.w ketika mula-mula sampai di Madinah iaitu mendirikan masjid yang merupakan pusat kegiatan pembinaan dan pengembangan sumber daya manusia. Sehingga mampu melahirkan manusia yang luar biasa, berakhlak mulia, manusia berilmu dan dekat dengan penciptanya.

Bukan setakat itu, Baginda juga menyatukan saudara-saudara Muhajirin dengan Ansar sehingga melahirkan ukhuwah Islamiah yang sebenarnya, melahirkan komuniti masyarakat yang saling hormat-menghormati. Selain itu, Baginda s.a.w juga membangunkan pasar untuk  kaum Muslimin kerana pada ketika itu pasar di Madinah masih dikuasai oleh Kaum Yahudi yang mengamalkan riba’ .

Pengajaran ketiga yang dapat kita hayati ialah perjalanan hijrah Rasulullah dari Mekkah ke Madinah merupakan momentum awal kebangkitan Islam dari arus jahiliyah. Kezaliman yang berleluasa dicantas dengan keadilan yang saksama. Islam hadir untuk membela dan memartabatkan maruah dan hak umatnya.  

Sekiranya masyarakat menginginkan keadilan, tiada lain dan tiada bukan hanyalah dengan keadilan Islam. Sudah terbukti apabila Rasulullah s.a.w sebagai ketua negara mampu menyatukan seluruh penduduk Madinah dengan keadilan Islam walaupun penduduk Madinah terdiri dari komuniti agama yang berbeza.

Justeru, sebagai orang Islam yang berpegang dengan ajaran Islam perlulah merasa yakin dengan hukum-hukum yang ditetapkan Allah dan sentiasa berusaha mendirikan syariatnya di tanah air sendiri. Kita perlu mencantas Islamphobia dan pelbagai lagi  ideologi-ideologi sesat yang mengelirukan umat Islam.

Masyarakat Islam dan seluruh Umat Islam perlu berhijrah dengan sebenar-benar hijrah. Apa yang saya maksudkan ialah mencantas unsur-unsur jahiliyah moden yang telah menular pesat dikalangan umat Islam sendiri sebagai contoh hedonisme dan pelbagai isme lain. 
 
HIJRAH SELEPAS HIJRAH RASULULLAH S.A.W 
Daripada Aishah r.a berkata, Rasulullah saw bersabda maksudnya: “Tidak ada hijrah selepas pembukaan (Mekkah,) tetapi jihad dan niat (yang baik.) Apabila kamu disuruh bersiap sedia, maka bersedialah.” [Hadis riwayat Muslim]

Imam Nawawi juga menyebut di dalam kitabnya Riyadus Solihin dengan maknanya; "tidak ada hijrah dari Mekkah (selepas pembukaan Mekkah), kerana telah wujudnya sebuah Negara Islam."

Maka, jelaslah kita bahawa tiada lagi hijrah setelah hijrah Nabi s.a.w melainkan hijrah kita ke arah kebaikan dan memperbaiki diri kita ke arah kesempurnaan iman. Justeru, saya mengajak diri saya dan juga para sahabat untuk sama-sama melakukan transformasi diri ke arah pembentukan syaksiah Muslim yang sejati.

Bekerjalah kita untuk terus mendaulatkan daulah Islamiah, meneruskan kesinambungan tugas yang Baginda s.a.w laksanakan setelah baginda berhijrah..

Salam Perjuangan dan Salam Maal Hijrah 1432H 

Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di tahun baru ini, kuatkanlah kami sebagai pendokong agamaMu, bantulah kami untuk meneruskan tugas-tugas dakwah ini dan hidup serta matikanlah kami dalam iman...Amin..

Melakar Cinta Firdausi,InniAkhafullah
0 Responses

.::KENALI PIMPINAN PMRAM SESI 2010::.

.::Video Lagu Rasmi PMRAM::.

Related Posts with Thumbnails

Followers

.:: ARMA ADALAH HAK KITA..!! ::.

.:: ARMA ADALAH HAK KITA..!! ::.

.::Zon Chat::.

.::Ahlan Wasahlan::.


MELAKAR CINTA FIRDAUSI