Showing posts with label Thaqafah Ilmiah. Show all posts
Showing posts with label Thaqafah Ilmiah. Show all posts

Kenyataan Dato' Dr. Fadzilah Kamsah : Ulasan Dari MANHAL PMRAM

Bismillah ar-Rahman arRahim...

Merujuk kepada halaman 6, Harian Metro pada hari Sabtu bertarikh 11 Disember 2010 (link), satu isu telah dipaparkan berkenaan penyelesaian yang dikemukan oleh Datuk Dr. Fadzilah Kamsah kepada seorang wanita yang bekerja sebagai GRO.

Wanita yang sedang sarat mengandung itu mengadu tentang dirinya yang tidak mempunyai sumber pencarian rezeki melainkan dengan melacur. Penyelesaian yang diberikan oleh beliau ialah dengan membenarkan wanita tersebut meneruskan kegiatan melacur untuk menyara kos sara hidup setelah bersalin dalam keadaan dia mestilah merasakan tidak redha terhadap perbuatan yang dilakukan sebelum berada dalam keadaan selesa untuk berpindah kepada pekerjaan yang lain.

Dalam perbincangan ini, pihak MANHAL PMRAM ingin mengetengahkan beberapa tumpuan utama yang akan dibahaskan. Perkara tersebut ialah :

• Bahaya mendekati zin.
• Dharurat menurut pandangan agama.
• Penyelesaian alternatif kepada masalah.


BAHAYA MENDEKATI ZINA

Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Isra’ ayat ke-32 :

32. dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan Yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan).


Hadith Nabi S.A.W. melalui Riwayat Imam Bukhari :

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى أَخْبَرَنَا إِسْحَاقُ بْنُ يُوسُفَ أَخْبَرَنَا الْفُضَيْلُ بْنُ غَزْوَانَ عَنْ عِكْرِمَةَ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَزْنِي الْعَبْدُ حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا يَسْرِقُ حِينَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا يَشْرَبُ حِينَ يَشْرَبُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا يَقْتُلُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ قَالَ عِكْرِمَةُ قُلْتُ لِابْنِ عَبَّاسٍ كَيْفَ يُنْزَعُ الْإِيمَانُ مِنْهُ قَالَ هَكَذَا وَشَبَّكَ بَيْنَ أَصَابِعِهِ ثُمَّ أَخْرَجَهَا فَإِنْ تَابَ عَادَ إِلَيْهِ هَكَذَا وَشَبَّكَ بَيْنَ أَصَابِعِهِ

Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Al Mutsanna Telah mengabarkan kepada kami Ishaq bin Yusuf Telah mengabarkan kepada kami Al Fudhail bin Ghazwan dari Ikrimah dari Ibnu Abbas radliallahu 'anhuma mengatakan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Tidaklah berzina seorang hamba yang berzina ketika ia berzina dalam keadaan beriman, dan tidaklah mencuri ketika ia mencuri dalam keadaan beriman, tidaklah ia meminum khamr ketika meminumnya dan ia dalam keadaan beriman, dan tidaklah dia membunuh sedang dia dalam keadaan beriman." Kata Ikrimah, saya bertanya kepada 'Ibnu 'Abbas; 'bagaimana iman bisa dicabut padanya? ' ia menjawab; 'begini', sambil menjalinkan jari-jemarinya, kemudian ia keluarkan, 'maka jika ia bertaubat, iman itu kembali kepadanya, ' sambil ia menjalin jari jemarinya. (Hadith ke-6311)

Berdasarkan kepada ayat Al-Quran dan hadith nabi S.A.W. di atas, ia jelas menunjukkan kepada kita bahawa zina diharamkan di dalam Islam. Allah S.W.T. mengarahkan kepada umat Islam supaya tidak menghampiri zina, apatah lagi terjebak di dalamnya dengan cara menjauhkan diri daripada unsur-unsur yang membawa kepada maksiat ini. Beberapa perkara disebutkan oleh para ulama’ sebagai punca ke arah berlakunya zina, iaitu :

1. Pandangan mata.
2. Berdua-duan dengan lelaki / wanita bukan mahram.
3. Percampuran antara lelaki dan wanita (pergaulan bebas).
4. Berhias-hias dan memperagakan kecantikan.
5. Memakai wangi-wangian dan melunakkan suara.

Perbuatan yang disebutkan ini merupakan permulaan kepada maksiat yang lebih besar iaitu zina. Hal ini disebabkan Islam mengajar umatnya menjaga lima perkara : agama, akal, diri, keturunan, dan harta. Allah S.W.T turut menyebutkan balasan perbuatan ini dalam ayat 68 dan 69, Surah Al-Furqaan :


68. dan juga mereka Yang tidak menyembah sesuatu Yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa Yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali Dengan jalan Yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan Yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;
69. akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di Dalam azab itu Dengan menerima kehinaan, -

Zina merupakan salah satu dosa besar dalam Islam disebabkan balasan dan siksaan pedih yang menimpa mereka yang melakukannya diceritakan di dalam Al-Quran dan hadith Nabi S.A.W. Baginda menerangkan kepada kita dalam hadith di atas bahawa mereka yang mencuri, minum arak dan berzina tidak akan melakukannya dalam keadaan dia beriman. Seolah-olah gambaran perkara-perkara ini adalah suatu tembok pemisah antara keimanan dan kekufuran. Na’uzubillah min zalik.

• Balasan penzina : Firman Allah S.W.T. dalam Surah An-Nuur ayat ke-2 :

2. perempuan Yang berzina dan lelaki Yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya Dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa Yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang Yang beriman.

Hukuman ini dikenakan kepada mereka yang belum berkahwin manakala bagi mereka yang telah berkahwin akan direjam berdasarkan kepada hadith sahih Nabi S.A.W. yang menceritakan perbuatan rejam baginda kepada Ma’iz dan Al-Ghamidiah. Tetapi bagi mereka yang telah sedar dan ingin bertaubat perlulah segera menjauhi perbuatan ini agar tidak mendapat laknat dan kemurkaan daripada Allah S.W.T jika mereka tetap meneruskannya. Keadaan ini disebutkan dalam hadith Nabi S.A.W. :

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا وَكِيعٌ وَأَبُو مُعَاوِيَةَ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ أَبِي حَازِمٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَةٌ لَا يُكَلِّمُهُمْ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمْ قَالَ أَبُو مُعَاوِيَةَ وَلَا يَنْظُرُ إِلَيْهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ شَيْخٌ زَانٍ وَمَلِكٌ كَذَّابٌ وَعَائِلٌ مُسْتَكْبِرٌ

Maksudnya : Dan telah menceritakan kepada kami Abu Bakar bin Abu Syaibah telah menceritakan kepada kami Waki' dan Abu Muawiyah dari al-A'masy dari Abu Hazim dari Abu Hurairah dia berkata, "Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Ada tiga orang yang mana Allah tidak mengajak mereka berbicara pada hari kiamat, dan tidak mensucikan mereka." Abu Mu'awiyah menyebutkan, "Dan tidak melihat kepada mereka. Dan mereka mendapatkan siksa yang pedih: yaitu orang tua yang pezina, pemimpin yang pendusta, dan orang miskin yang sombong." (Hadith ke-156 riwayat Imam Muslim)


DHARURAT MENURUT PANDANGAN SYARAK


Sesetengah golongan pernah cuba mengaitkan keharusan zina dengan dharurat yang menimpa seseorang. Mereka mengatakan dalam keadaan dharurat individu berkenaan dibenarkan melakukan maksiat dengan melihat kepada kaedah umum الضرورات تبيح المحظورات yang bermaksud (Dharurat Itu Mengharuskan Perkara-Perkara Haram). Contohnya seorang lelaki yang kebuluran di dalam hutan dibenarkan untuk memakan khinzir yang berada di hadapannya setelah tidak menemui sebarang makanan dengan syarat bahagian yang dimakan itu hanya sekadar mampu memberikannya tenaga.


Namun, para ulama’ meletakkan garis panduan kepada kita dalam memahami erti dharurat yang sebenarnya :

1. Dharurat ini tidak dapat dibendung dan ditakuti akan membinasakan diri atau anggota badan.

2. Keadaan ini membolehkan perkara haram dilakukan untuk menjaga nyawa individu yang berada dalan keadaan dharurat samada dengan cara memakannya atau menjadikannya ubat.

3. Situasi dharurat tidak mempunyai kaitan dengan maksiat (zina, mencuri dan sebagainya) seperti yang telah disebutkan oleh jumhur ulama’, Ibnu Al-‘Arabi dan sebagainya. (seperti contoh : tidak boleh mengatakan diharuskan berzina / mencuri disebabkan dharurat)

4. Orang yang berada dalam keadaan dharurat tidak mendapati jalan lain untuk menolak kemudharatan yang dihadapinya.

5. Melakukan perkara haram (selepas dharurat) hanya sekadar boleh mengelakkan sesuatu tidak baik berlaku (maksudnya jangan berlebih-lebih).

6. Pasti dalam dirinya bahawa jika dia tidak mengambil sesuatu yang haram untuk menyelamatkan dirinya dia akan kehilangan nyawa atau anggota badan.

7. Pasti bahawa dirinya tidak mengambil bahagian saudaranya yang lain yang juga berada dalam keadaan dharurat.

8. Keburukan jika tidak mengambil perkara yang haram tadi lebih besar daripada keburukan yang bakal menimpa jika dia melakukannya (mengambil yang haram).

Oleh itu, perkara ini tidak boleh diambil mudah kerana ia berkaitan dengan keharusan yang Allah berikan sebagai ganti dalam menjaga salah satu daripada lima perkara asas anjuran agama yang telah disebutkan sebelum ini. Jika tidak, keharusan ini akan bertukar menjadi haram dan si pembuatnya terus berada dalam keadaan berdosa.


PENYELESAIAN ALTENATIF KEPADA MASALAH

Setelah melihat kepada pandangan agama dan situasi yang berlaku, pihak kami mengemukakan beberapa cadangan penyelesaian masalah :

1. Optimis terhadap pengampunan dan rahmat Allah S.W.T.

Allah S.W.T sangat belas kasihan kepada hambanya, mengampunkan kesalahan mereka dan menerima taubat. Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Imran ayat ke-133 :


133. dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal Yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga Yang bidangnya seluas Segala langit dan bumi, Yang disediakan bagi orang-orang Yang bertaqwa;

Sesuatu maksiat yang dilakukan perlu dihapuskan melalui taubat kepada Allah S.W.T. dengan sebenar-benar taubat (taubat nasuha). Antara syarat bagi taubat ini diterima ialah :

1. Menyesal di atas perbuatan dosa yang telah lalu.
2. Menyucikan diri daripada dosa iaitu memohon pengampunan daripada Allah S.W.T.
3. Berazam tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.
4. Jika kesalahannya itu melibatkan pengambilan harta orang lain maka ia perlu dipulangkan.

Selain itu, hadith Nabi S.A.W. pernah menceritakan perihal taubat :

Dari Abu Musa Al-Asy’ari -radhiallahu anhu- dari Nabi -alaihishshalatu wassalam- beliau bersabda :

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَبْسُطُ يَدَهُ بِاللَّيْلِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ النَّهَارِ وَيَبْسُطُ يَدَهُ بِالنَّهَارِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ اللَّيْلِ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ مَغْرِبِهَا

Maksudnya : “Allah -Azza wa Jalla- akan senantiasa membuka lebar-lebar tangan-Nya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa pada siang hari dan Allah senantiasa akan membuka tangan-Nya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa pada malam hari, dan yang demikian terus berlaku hingga matahari terbit dari barat.” (Hadith riwayat Imam Muslim no. 2760)

Seorang manusia perlulah senitiasa optimis kepada Allah S.W.T. dalam semua perkara kebaikan yang dilakukan. Begitu juga dengan taubat, walau sebesar mana dosa yang dilakukan ingatlah bahawa Allah S.W.T. maha pengampun lagi penerima taubat. Firman Allah S.W.T. dalam Surah At-Tahriim ayat ke-8 :


8. Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan " taubat Nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang Yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba Dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi Kami cahaya kami, dan Limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".

Walaupun hukuman di dunia tidak dijalankan, si pembuat dosa perlulah bertaubat dengan penuh kesungguhan kepada Allah S.W.T. agar diampunkan kesalahan yang telah dilakukan. Insha Allah, Dia sangat pengasih dan menerima taubat hambanya.

2. Mengikut jalan penyelesaian yang tidak bertentangan dengan syara’

Dalam pecahan ini, setiap manusia diajar supaya tidak mengikut suruhan manusia lain yang mengajak ke arah maksiat. Hal ini pernah disebutkan dalam hadith Nabi S.A.W. :

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ حَدَّثَنَا يَحْيَى عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ قَالَ حَدَّثَنِي نَافِعٌ عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ح و حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ صَبَّاحٍ حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ زَكَرِيَّاءَ عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ عَنْ نَافِعٍ عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ حَقٌّ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِالْمَعْصِيَةِ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ

Maksudnya : Telah bercerita kepada kami Musaddad telah bercerita kepada kami Yahya dari 'Ubaidullah berkata telah bercerita kepadaku Nafi' dari Ibnu 'Umar radliallahu 'anhuma dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Dan diriwayatkan pula, telah bercerita kepadaku Muhammad bin Shobbah telah bercerita kepada kami Isma'il bin Zakariya' dari 'Ubaidullah dari Nafi' dari Ibnu 'Umar radliallahu 'anhuma dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Mendengar dan taat adalah haq (kewajiban) selama tidak diperintah berbuat maksiat. Apabila diperintah berbuat maksiat maka tidak boleh untuk mendengar dan taat". (Hadith ke-2735 riwayat Imam Bukhari)

Allah S.W.T. sangat luas rahmatNya, iaitu dengan membenarkan perkara haram itu diambil sebagai ganti kepada dharurat yang berlaku. Jika tidak, kebinasaan akan menimpa diri dan anggota individu ini. Namun, satu perkara yang perlu diambil perhatian ialah konsep memahami pengertian dharurat dan syarat-syaratnya (seperti yang telah dijelaskan sebelum ini), apabila meletakkan bahawa ia tidak mempunyai ikatan dengan maksiat dan tidak ada alternatif lain dalam menyelesaikannya.

Maka jika ia merupakan saranan daripada seseorang dengan di sana masih terdapat jalan lain untuk digunakan (rujuk kepada perbahasan dharurat pada perbincangan sebelumnya), arahan tersebut tidak boleh dipatuhi. Inilah kaedah yang digunakan oleh para ulama’ pada zaman dahulu dan sekarang.

• Persoalan : Kalaulah maksiat tidak dibenarkan untuk diikuti dalam keadaan dharurat, bagaimana pula dengan memakan khinzir dalam keadaan dharurat?Adakah dengan memakannya itu tidak dikira sebagai maksiat?

Jawapan : Perkara tersebut hendaklah dilihat kepada syarat dan ketetapan dharurat pada perbahasan lalu, iaitu jika ia tidak melakukannya maka perkara ini boleh membawa kepada kebinasaan pada diri dan anggota. Dalam masa yang sama, tidak ada cara penyelesaian lain dalam mengatasi masalah ini. Selain itu, keburukan yang diterima setelah melakukan perkara itu (memakan daging khinzir seperti contoh) lebih kecil jika dibandingkan dengan kebinasaan nyawa atau anggota jika dia tidak mengambilnya, maka perkara tersebut dimaafkan.

Berbeza dengan kes ini, kebinasaan yang bakal diterima lebih besar jika ia dilakukan iaitu mendapat balasan di dunia dan akhirat seperti yang telah disebutkan dalam ayat Al-Quran dan hadith Nabi S.A.W. Tambahan pula, pada zaman sekarang masih terdapat banyak lapangan yang boleh diisi sebagai ganti kepada mata pencarian hidup, maka keadaan dharurat dalam situasi ini tertolak.

3. Memohon bantuan daripada kenalan atau pihak berwajib

Islam mengajarkan umatnya supaya saling bantu-membantu antara satu sama lain dalam perkara kebaikan. Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Maidah ayat ke-2 :

Maksudnya : …dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya).

Dalam kes ini, individu berkenaan boleh memohon bantuan kepada kenalan atau pihak berwajib dalam meringankan bebannya. Contohnya, setelah melahirkan anak, dia boleh meminta bantuan kepada mereka yang amanah dan bertanggungjawab untuk menjaga anak tadi apabila berpergian mencari rezeki yang halal bagi menampung kos sara hidup keduanya.

Tetapi, yang paling penting si ibu tetap bertanggungjawab kepada anaknya (maksudnya tidak boleh meninggalkan anaknya bersama dengan penjaga tadi lalu menghilangkan diri). Setelah dirasakan dirinya telah stabil untuk meneruskan kehidupan, anak yang dijaga tadi bolehlah terus diseerahkan ke pangkuannya dan dibesarkan menurut panduan agama Islam.

4. Mencari sumber pencarian yang halal,

dalam hadith Nabi S.A.W. ada menceritakan :

عن أبي عبدالله النعمان بن بشير رضي الله عنهما قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : إن الحلال بيّن والحرام بيّن ، وبينهما أمور مشتبهات لا يعلمهن كثير من الناس ، فمن اتقى الشبهات فقد استبرأ لدينه وعرضه ، ومن وقع في الشبهات فقد وقع في الحرام ، كالراعي يرعى حول الحمى يوشك أن يرتع فيه ، ألا وأن لكل ملك حمى ، ألا وإن حمى الله محارمه ، إلا وإن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله ، وإذا فسدت فسد الجسد كله ، ألا وهي القلب - رواه البخاري و مسلم

Daripada Abu Abdullah an-Nu’man bin Basyir r.a katanya:”Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :”Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram(itupun) jelas dan di antara kedua-duanya (terdapat)perkara-perkara yang syubhat, ramai di kalangan manusia tidak mengetahuinya .Sesiapa yang menjaga dirinya daripada perkara syubhat ,(maka) dia telah membersihkan agama dan kehormatannya .Dan sesiapa yang terjatuh ke dalam perkara-perkara yang syubhat , dia akan jatuh kepada perkara yang haram.Seperti pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan ,dibimbangi gembalaannya akan meragut makanan di dalam nya .Ketahuilah sesungguhnya bagi setiap raja itu ada kawasan larangan dan kawasan larangan Allah ialah perkara-perkara yang diharamkannya .Ketahuilah bahawa di dalam jasad manusia ada seketul daging , apabila ia baik , maka baiklah seluruh jasadnya .Apabila ia rosak , rosaklah seluruh jasadnya , ketahuilah bahawa seketul daging itu adalah hati. (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim)

Dewasa ini, kita melihat pelbagai kemahiran dan bidang telah diterajui manusia dalam banyak aspek. Tambahan pula, kebanyakan daripadanya telah dikomersialkan menjadi suatu bentuk perniagaan yang boleh mendatangkan keuntungan. Namun Islam mengajar kepada umatnya supaya bijak memilih bidang dalam mendapatkan sumber pencarian hidup yang diredhai Allah S.W.T.

Berbalik kepada keadaan yang berlaku, pekerjaan GRO bukanlah suatu jalan terbaik dalam mendapatkan sumber rezeki. Sedangkan masih banyak lagi pekerjaan lain yang boleh dilakukan bagi menampung perbelanjaan hariannya. Bahkan jika jalan ini dipilih maka ia telah mengundang kemurkaan dan azab Allah S.W.T. Disebutkan dalam hadith Nabi S.A.W. :

حَدَّثَنَا حَجَّاجٌ أَنْبَأَنَا شَرِيكٌ عَنْ سِمَاكٍ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَعَنَ اللَّهُ آكِلَ الرِّبَا وَمُوكِلَهُ وَشَاهِدَيْهِ وَكَاتِبَهُ قَالَ وَقَالَ مَا ظَهَرَ فِي قَوْمٍ الرِّبَا وَالزِّنَا إِلَّا أَحَلُّوا بِأَنْفُسِهِمْ عِقَابَ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya : Telah meneritakan kepada kami Hajjaj telah memberitakan kepada kami Syarik dari Simak dari Abdurrahman bin Abdullah bin Mas'ud dari ayahnya dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, beliau bersabda: "Allah melaknat pemakan riba, yang memberi makan, para saksi dan penulisnya." Ia berkata; Beliau juga bersabda: "Tidaklah nampak pada suatu kaum riba dan perzinaan melainkan mereka telah menghalalkan bagi mereka mendapatkan siksa Allah Azza wa Jalla." (Hadith ke-3618 riwayat Imam Ahmad)

Kesimpulan : Tidak dinafikan bahawa nasihat dan bimbingan itu perlu bagi merubah diri seseorang namun biarlah ia diberikan mengikut landasan syara’. Jika perkara ini masih mendatangkan kekaburan dan kesamaran, ia boleh dirujuk kepada mereka yang lebih mengeahui tanpa memberikan penyelesaian mengikut hawa nafsu. Kepada mereka yang pernah mengalami situasi ini bolehlah menyampaikannya kepada pihak berkenaan dalam usaha menegakkan yang maaruf dan mencegah yang munkar.

Akhir kata, pihak MANHAL PMRAM berharap agar permohonan maaf secara terbuka dan penjelasan semula dapat dibuat oleh pihak Dr. Fadzilah Kamsah berhubung pernyataan yang telah dikeluarkan. Semoga kita mendapat rahmat dan perlindungan daripada Allah S.W.T.


Rujukan :

1. Al-Quraan Al-Karim.
2. Sahih Al-Bukhari, karangan Muhammad Ibn Ismail Ibn Ibrahim Ibn al-Mughirah Ibn Bardizbah al-Bukhari.
3. Shahih Muslim karangan Abul Husayn Muslim ibn al-Hajjaj Qushayri al-Nisaburi.
4. Musnad Imam Ahmad karangan Imam Ahmad ibn Hanbal
5. Wala Taqrabu Az-Zina, karangan Muhammad Abdul Aziz Al-Hallawi.
6. Asbab Halak Al-Umam Wa Sunnatullah fil Qaum Al-Mujrimin Wal Munaharifin, karangan Syeikh Abdullah At-Talidi.
7. Qadhaya Fiqhiah Mu’asirah (Universiti Al-Azhar), karangan pensyarah-pensyarah Bahagian Fiqh Al-Muqaran, Universiti Al-Azhar.
8. Baina As-Sa'il Wal Faqih, karangan Dr. Muhammad Bakr Ismail.


Disediakan oleh,
Muhammad Hanif Jamaluddin,
Pemangku Pengerusi Felo MANHAL PMRAM.


Melakar Cinta Firdausi,InniAkhafullah

Tajarrud di Jalan Dakwah...

 Bismillah ar-Rahman ar-Rahim...

Pemuda pemudi sekalian sesungguhnya gerakan dakwah yang penuh ujian mehnah dan tribulasi sangat memerlukan hati-hati dan jiwa-jiwa yang memiliki tajarrud yang bersambung kepada Allah SWT, yang tidak selalu melihat pada kenikmatan dunia yang sementara, tidak bekerja untuk kepentingan peribadi, atau meraih kepemimpinan, atau kebanggaan, atau ingin menjadi terkenal, kerana itu diantara intipati yang menjadi fokus gerakan Islam dalam kerja tarbiyah adalah melatih pemuda pemudi untuk membersihkan jiwanya daripada kelalaian dunia, kemudian meningkatkan diri untuk hidup dengan tajarrud pada risalahnya, berjihad dan siap untuk berkorban di jalannya Fisabilillah dengan seluruh jiwa dan raga yang ada pada pemuda dan pemudi.

ingatlah Bahawa jalan dakwah adalah satu, oleh kerana itu, berbagai dakwah yang diserukan oleh kebanyakan jemaah atau kelompok yang ada di Negara ini tidak akan meraih kemenangan atau hasil perjuangan jika tidak mampu melakukan tajarrud dengan usaha membersihkan jiwa dari fikrah (ideologi) pentingkan diri kerana dengan menguasai dakwah hanya pada akal dan perasaan mereka, maka tidak ada sesuatu apapun yang dapat membantu daie dalam menghadapi berbagai ujian dan mehnah tribulasi di tengah jalan dakwah yang sulit kecuali tajarrud kepada Allah dan ikhlas untuk-Nya.


“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagi-Nya; dan demikian Itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)”. (Al-An’am:162-163)


Sayyid Qutb mengatakan, “Orang yang hidup bagi dirinya sendiri akan hidup sebagai orang kerdil dan mati sebagai orang kerdil. Tapi orang yang hidup bagi orang lain akan hidup sebagai orang besar dan mati sebagai orang besar.”

Syaikh Arselan, pemikir Muslim asal Syiria, yang menulis buku Mengapa Kaum Muslimin Mundur dan Orang Barat Maju menjelaskan jawabannya dalam kalimat yang sederhana, "kerana," kata Syaikh Arselan. "orang-orang barat lebih banyak berkorban daripada kaum Muslimin. Mereka memberi lebih banyak demi agama mereka daripada apa yang diberikan kaum Muslimin bagi agamanya".

Dan ketika ada pertanyaan, "Apakah yang memerlukan untuk menegakkan agama ini dalam realiti kehidupan?" Maka jawabnya dengan kehadiran para pahlawan pemuda pemudi sejati yang tidak lagi hidup bagi dirinya sendiri, tetapi hidup bagi orang lain dan agamanya, serta sangup mengorbankan semua yang ia miliki bagi agamanya.

Syaikh Syahid Hasan Al-Banna berkata: Yang saya maksud dengan tajarrud adalah membersihkan fikrah Anda yang berbagai prinsip dan berkepentingan individu kerana hal tersebut merupakan ideologi paling mulia, lengkap dan tinggi darjatnya


“Shibghah Allah dan siapakah yang lebih baik shibghah nya dari pada Allah?” (Al-Baqarah:138)

Abul Hasan An-Nadwi mengatakan: “Diantara ciri khas para nabi dan para duat kepada Allah adalah tajarrud untuk berdakwah dan fokus kepada hati dan jiwa raga dan sesuatu yang berharga, waktu dan kekuatan, dan di antara keperibadian mereka adalah fokus pada kesungguhan, keahlian dan menyerahkan segala waktu dan potensi mereka untuk dakwah ini dan menyebarkannya serta dengan berjihad di jalannya, memberikan seluruh waktunya sehingga tidak ada yang tersisa sedikitpun dari apa yang mereka miliki, tidak sedikit pun yang ditahannya dan tidak terpengaruh atasnya sedikit pun bukan pada negara, keluarga, kelompok, hawa nafsu dan harta sehingga segala usaha mereka mendapatkan hasil yang gemilang”.


Oleh kerana itu pemuda pemudi yang jujur adalah seorang yang selalu semangat dalam jihadnya, tidak terniat pada dakwahnya dan kesungguhannya dalam bekerja hanya untuk mendapatkan pengkat atau tampil sebagai pemimpin dalam dakwah namun hatinya daripada duniawi, tidak bercita-cita sedikitpun untuk mendapatkan jawatan itu.


Sesungguhnya fenomena pertikaian, perpecahan dan perdebatan yang dialami oleh kebanyakan Gerakan dakwah memberikan isyarat kepada kita bertapa kurangnya tajarrud kepada Allah SWT yang sebenarnya, sehingga terjadi perbezaan pendapat.


Firman Allah SWT

“Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu Jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk Berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (Al-Maidah:8)

Namun ketika tajarrud hilang dari kehidupan seorang muslim, maka dirinya akan diisi oleh hawa nafsu dan bangga pada diri dan pendapat sendiri, dan hal tersebut merupakan pangkal kehancuran

Firman Allah SWT
“Maka tatkala mereka berpaling (dari kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik”. (As-Shaff:5)


Maka dari itu, berpegang teguhlah dengan tali Allah wahai Pemuda pemudi sekalian di mana saja kita berada, dan teruslah berjalan pada jalan dakwah ini, tajarrudlah untuk risalah ini, dan ikhlaslah untuk Allah sebagai Tuhan Pencipta kita, dan bekerjalah untuk Kebangkitan Islam Akhir zaman.
Semoga janji Allah SWT di dalam surah an-nur ayat 55 akan berlaku tidak lama lagi I.Allah... Takbir3x Allahu Haq.


Inilah Surat Allah Yang Maha Berkuasa kepada Gerakan Islam untuk Kemenangan Islam Akhir Zaman!! Apa tunggu lagi Ayuh Kita percepatkan proses Kemengan ini!!


Firman Allah Al-Jabbar Al-Malik Al-Qahar:-

"Aku (Allah) menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal salih dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Aku (Allah) akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan Agama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka!!"


Melakar Cinta Firdausi,InniAkhafullah

APA PERLUNYA KITA BEKERJA UNTUK ISLAM..?? ( Vol.2)

 Bismillah ar-Rahman ar-Rahim..


Di antara bukti-bukti yang menguatkan bahawa beramal untuk Islam adalah wajib dan ianya bersifat wajib taklifi (difardukan), bukannya tanggungjawab yang diperintahkan melakukan secara sukarela, dapat dilihat secara yakin dari beberapa sudut:

1) Wajib dari sudut prinsip ( Mabda’ )
2) Wajib dari sudut hokum
3) Wajib dari sudut tuntutan ( Darurat )
4) Wajib secara individu mahupun jemaah
5) Ganjaran jihad adalah untuk mujahid itu sendiri

Pertama: Wajib Dari Sudut Prinsip (Mabda').

Beramal atau bekerja untuk (menegakkan seluruh ajaran) Islam pada prinsipnya adalah wajib kerana beramal atau bekerja adalah tanggungjawab yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t kepada seluruh umat manusia, didahului oleh para Nabi dan para Rasul kemudian ke atas umat manusia seluruhnya hingga ke hari kiamat kelak.Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud:

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesanpesan
dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
(Surah Al-Asr, Ayat:1 - 3).

Dan firman Allah yang bermaksud:

Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan
kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan
menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan
perutusanNya. (Surah Al-Maaidah, Ayat: 67).

Dan firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang
telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah
Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat
oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. (Surah Al-Baqarah, Ayat: 159).

Dalam sunnah Rasulullah s.a.w yang mulia terdapat riwayat-riwayat yang mempunyai hubungan secara khusus tentang dakwah kepada kebenaran dan menentang kebatilan. Di antaranya ialah sabda Rasulullah s.a.w:

"Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, dia hendaklah mencegahnya
dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu (mencegah dengan tangan - kuasa),
maka hendaklah dia mengubah dengan menggunakan lidahnya (teguran dan
nasihat), maka sekiranya ia tidak mampu juga hendaklah ia mengubah dengan
hatinya (iaitu tidak reda dan benci) dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.
Tidak ada lagi iman selepas tahap itu walaupun sebesar biji sawi".
 (Hadis riwayat Tirmizi).

Sabda baginda yang lain:

"Wahai manusia, sesungguhnya Allah berfirman
kepadamu: Perintahlah (manusia) supaya melakukan perkara-perkara yang makruf
(yang baik) dan cegahlah mereka dari melakukan perkara-perkara yang mungkar
sebelum (tiba suatu waktu di mana) kamu meminta, lalu aku tidak lagi
menerimanya dan kamu memohon pertolongan lalu aku tidak menolong kamu
lagi".
 (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Sabda Rasulullah s.a.w lagi:

"Apabila engkau melihat umatku takut untuk
berkata kepada orang yang melakukan kezaliman: Wahai penzalim! Maka
sesungguhnya dia telah mengucapkan selamat tinggal baginya".
 (Hadis riwayat Hakim).

Kedua: Wajib dari Sudut Hukum.

Beramal untuk Islam adalah wajib dilihat dari sudut hukum kerana tidak berjalannya syariat Allah di atas muka bumi dan penguasaan sistem dan undang-undang ciptaan manusia ke atas masyarakat manusia hari ini mewajibkan umat Islam bekerja untuk menegakkan masyarakat Islam dan mengembalikan cara hidup Islam. Umat Islam juga wajib bekerja supaya manusia tunduk mengabadikan diri kepada Allah di dalam iktikad keyakinan, akhlak dan sistem hidup mereka berdasarkan dalil dari Al-Quran yang menyebut yang bermaksud:

Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak
disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana
perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di
hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka
menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.
(Surah An-Nisa', Ayat: 65).

Dan firman Allah yang bermaksud:

Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikutpengikutmu):
Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka
hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya
ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk
kembali (dalam segala keadaan).
(Surah Asy-Syura, Ayat: 10).

Begitu juga firman Allah yang bermaksud:

Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah
diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang
yang kafir.
(Surah Al-Maaidah, Ayat: 44).

Firman Allah yang bermaksud:

Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah
diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
(Surah Al-Maaidah, Ayat: 45).

Firman Allah yang bermaksud:

Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah
diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.
 (Surah Al-Maaidah, Ayat: 47).

Apabila menegakkan masyarakat Islam dan melaksanakan hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah itu hukumnya wajib maka kerja-kerja yang membawa kepada kewujudan masyarakat Islam dan terlaksananya hokum Allah turut menjadi wajib berdasarkan kaedah syarak yang bermaksud:

“Sesuatu perkara yang tidak dapat disempurnakan sesuatu
yang wajib melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib".

Sebahagian besar dari negara-negara (umat) Islam, kalau pun tidak dapat dikatakan seluruhnya diperintah oleh sistem-sistem ciptaan manusia yang merupakan campur aduk dari sistem undang-undang Rumani, Yunan,Perancis dan sebagainya.

Demikian juga sistem ekonomi yang menguasai negara-negara tersebut adalah sistem ekonomi Kapitalisme dan Sosialisme.Ini adalah penyebab utama yang mendesak umat Islam supaya menyusun gerak-kerja untuk meruntuhkan sistem jahiliah dalam bentuk seperti ini dan kewajipan mengembalikan kehidupan Islam adalah menjadi fardu ain ke atas setiap muslim sehingga kepimpinan dan kekuasaan kembali kepangkuan Islam.

Selain dari itu masih banyak kewajipan-kewajipan syariah yang perlaksanaan dan amalannya bergantung kepada adanya khalifah atau Imam sedangkan pelantikan Khalifah (Imam) itu sendiri sangat bergantung kepada wujudnya kekuasaan Islam.

Oleh itu seluruh undang-undang yang berkaitan dengan sistem-sistem Islam sama ada di dalam bidang kemasyarakatan, ekonomi, politik malah kesemua undang-undang yang berkait dengan hukum, kanun keseksaan, perdamai,peperangan, jihad,gencatan senjata, perjanjian damai, muamalat, kemasyarakatan dan ekonomi, semuanya ini dan sebagainya adalah di antara bidang-bidang Syariat Islam yang tidak mungkin terlaksana kecuali melalui sebuah Negara yang teguh di atas dasar-dasar Islam.

Ketiga: Wajib Dari Sudut Tuntutan (Darurat).

Beramal dan bekerja untuk Islam juga merupakan satu kewajipan jika dilihat dari sudut tuntutan untuk menghadapi cabaran-cabaran zaman kini dan serangan musuh-musuh Islam. Ianya adalah satu kewajipan kerana dengannya dapat menyekat penularan fahaman kebendaan dan ateis (tidak
percayakan tuhan) yang berusaha menggugat kewujudan Islam.

Sekiranya dilihat dengan pemerhatian yang teliti kepada nasib yang dialami oleh negara-negara umat Islam hari ini maka sudah pasti ia menjadi bukti menguatkan lagi tuntutan tersebut adalah tanggungjawab yang wajib di sisi syariat di mana umat Islam tadi seharusnya berdiam diri dan memandang ringan.Kita dapati banyak negara-negara (Umat Islam) yang mengadu dan merintih dengan penuh penderitaan kerana dikuasai oleh keserakahan orang-orang bukan Islam (kafir) sebagaimana yang dialami oleh rakyat Palestine, Kashmir, Eitrea, Qibrash, Bukhara, Samarkand dan lain-lain.Manakala beberapa negara lain pula menderita kerana cengkaman kuasa golongan minoriti yang berniat jahat ke atas umat Islam, mereka memerintahkan Umat Islam dengan kekuatan besi dan api.

Kita dapati juga beberapa bahagian dari negara Umat Islam yang lain mengadu mengenai penderitaan mereka yang disebabkan oleh kekuasaan parti-parti puak kiri (yang terdiri dari sosialis dan komunis) atau puak kanan (yang berkefahaman kapitalis) dalam negara mereka. Begitu juga keadaan hidup di beberapa tempat yang lain yang berada di dalam suasana pertumpahan darah yang hebat hasil dari perebutan kuasa di antara
kekuatan puak kiri dan puak kanan.

Selain dari hal-hal yang tersebut di atas, sebenarnya betapa perlunya amal Islami sekalipun secara darurat, dari menyahut cabaran-cabaran dari dalam yang berupa kuncu-kuncu, tali barut dan penyokong musuh Islam. Firman Allah yang bermaksud:

Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan
(sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata.
(Surah Al-Anfaal, Ayat: 39).

Keempat: Wajib Secara Individu Mahupun Jemaah.

Tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam dari sudut kewajipan syarak (taklifi) adalah satu tanggungjawab ke atas individu (fardi) sama seperti kewajipan-kewajipan dan tanggungjawab syariat yang lain di mana ganjaran pahala diberikan apabila dilaksanakan tanggungjawab tersebut dan dibalas dengan dosa apabila ia ditinggalkan.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan
Neraka Saqar itu?
(Surah Al-Muddaaththir, Ayat: 27).

Firman Allah lagi yang bermaksud:

Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada
hari kiamat dengan seorang diri.
(Surah Maryam, Ayat: 95).

Firman Allah lagi yang bermaksud:

Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu
lakukan adalah untuk diri kamu.
(Surah Al-Israa', Ayat: 7).

Firman Allah lagi yang bermaksud:

Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa
perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).
(Surah Al-An'aam, Ayat:164.)

Firman Allah lagi yang bermaksud:

Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka
sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri.
 (Surah Al-'Ankabuut, Ayat: 6).

Supaya orang lain itu semuanya turut serta dalam kerja-kerjanya membina masyarakat dan memakmurinya iaitu dengan membina kehidupan masyarakat atas dasar kebenaran (Al-Haq) dan memakmurkan dengan kebaikan, maka Islam telah menentukan ke atas setiap orang Islam bertanggungjawab memberikan khidmat dan pengorbanan mereka untuk Islam mengikut batas kemampuan masing-masing, selama mana insan itu berada dalam keadaan baligh, akal yang sihat dan ada kemampuan.

 Dari pengorbanan seperti ini akan menjadikan masyarakat Islam itu sebagai sel yang hidup dan bernyawa dalam badan. Setiap individu dalam masyarakat ini akan memberikan sesuatu malah mereka berlumba-lumba untuk berkorban.

Dari kenyataan di atas jelaslah bahawa kewajipan beramal dan bekerja untuk menegakkan Islam oleh individu adalah sama seperti kewajipan-kewajipan syarak yang lain iaitu ia adalah satu kewajipan Islam.Oleh kerana beramal dan bekerja untuk Islam adalah kewajipan individu (fardi) dari sudut ini maka ia juga adalah satu kewajipan secara jama'ie (organisasi) apabila dilihat dari sudut tanggungjawab gerakan dan dari sudut perlaksanaannya.

Kenyataan ini dibuktikan oleh realiti-realiti yang berlaku dan keadaan-keadaan yang pada dasarnya tidak dapat dipertikaikan lagi.

Di antara realiti-realiti tersebut ialah:

1. Sebenarnya taklif atau tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam adalah satu tanggungjawab yang sangat berat untuk dipikul oleh orang perseorangan kerana matlamat amal Islami adalah untuk meruntuhkan jahiliah hingga ke akar umbinya lalu di atas runtuhan itulah ditegakkan Islam.

Tugas yang berat ini menurut pengorbanan, kemampuan dan kesanggupan yang tidak mampu dilakukan secara perseorangan bahkan tugas ini tidak mampu dipikul sekalipun dengan memerah seluruh tenaga, kegigihan dan kesanggupan menghadapi segala penderitaan. Tanggungjawab ini hanya mampu dipikul oleh gerakan yang tersusun, yang memiliki kadar kemampuan yang setimpal dari sudut kesedaran, penyusunan dan kekuatan dalam menghadapi jahiliah yang wujud.

2. Sesungguhnya usaha kerja Rasulullah s.a.w dalam rangka menghadapi serangan jahiliah dan kemudiannya menegakkan masyarakat Islam serta mengembalikan kehidupan mengikut lunas-lunas
Islam merupakan dalil dan bukti bekerja secara berjemaah untuk menegakkan Islam adalah wajib.

Oleh yang demikian Rasulullah s.a.w tidak menggunakan cara bekerja secara individu di dalam bertindak,malah sejak dari awal-awal lagi baginda begitu mengambil berat kepada usaha-usaha menubuhkan jemaah dengan memilih anasir-anasir pembinaannya dangan teliti. Kemudian baginda s.a.w membentuk dan membersihkan mereka sehingga menjadi satu kekuatan dalam proses perubahan yang baginda s.a.w lakukan. Inilah yang telah dibuktikan oleh perjalanan sirah Rasulullah s.a.w dalam setiap peringkat dan lapangan.

3. Selain dari itu amal dan gerak kerja untuk menegakkan Islam dipenuhi dengan halangan ranjau dan duri, ujian dan cubaan.Halangan-halangan yang menunggu di jalannya sangatlah banyak.
Kuasa-kuasa asing yang saban waktu menunggu kesempatan memukul umatnya juga adalah banyak. Semua cabaran-cabaran ini menuntut kewujudan sebuah tanzim haraki (penyusunan gerakan jemaah) yang menyeluruh dari sudut kualiti dan kuantiti untuk menghadapi segenap peringkat amal, suasana persekitaran serta kemungkinan-kemungkinan yang mendatang.

Dari ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w terdapat banyak dalil-dalil yang secara nyata menunjukkan beramal secara berjemaah yang kemas tersusun untuk menegakkan Islam adalah merupakan satu perkara penting.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa
(maksiat) dan pencerobohan.
(Surah Al-Maaidah, Ayat: 2).


Kelima: Ganjaran Jihad Adalah Untuk Mujahid Itu Sendiri.

1. Sejak awal-awal lagi para petugas yang bekerja untuk Islam mestilah memahami secara mendalam bahawa merekalah yang sebenarnya memerlukan Islam. Sewaktu mereka bekerja, berjihad dan berjuang,bererti mereka bertindak membersihkan diri dan jiwa mereka sendiri disamping menunaikan sebahagian dari hak-hak Allah ke atas mereka supaya mereka memperolehi ganjaran dari sisi Allah di hari kiamat kelak, hari di mana pandangan menjadi tunduk merendah dan hati
menjadi bergetar kerana dilanda ketakutan ditimpa azab.Mereka inilah yang beruntung sekiranya mereka mara beramal dan merekyang rugi sekiranya mereka berundur dan berpaling tadah.
Allah s.w.t berfirma yang bermaksud:

Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka
sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri;
sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada
sekalian makhluk.
(Surah Al-Ankabuut, Ayat: 6).

Allah s.w.t juga berfirman yang bermaksud:

Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan
berderma) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu
mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.
(Surah Muhammad, Ayat: 38).

2. Mereka juga mesti memahami bahawa nilai dan harga diri mereka sebenarnya adalah kerana pegangan mereka kepada Islam. Mereka tidak mempunyai apa-apa nilai sekiranya tidak bersama Islam (sama seperti binatang bahkan lebih sesat dari itu).

 Kemuliaan dan ketinggian mereka yang sebenarnya tidak akan tercapai melainkan dengan mereka menggembleng tenaga dan melibatkan diri di dalam jemaah Islam yang memperjuangkan Islam dan terus kekal dalam jemaah yang berkenaan.

Sesiapa yang mengasingkan diri dia akan keseorangan di dalam azab neraka. Sesiapa yang menyatukan dirinya secara benar dengan kumpulan tersebut bererti dia telah bergabung dengan nasab keturunan yang mulia mengikat diri dengan golongan yang mendapat petunjuk, yang terdiri daripada para Nabi dan para syuhada yang mendapat nikmat di sisi Allah s.w.t.

3. Para petugas amal Islami juga mesti menyedari bahawa terus kekal bersama dengan jemaah adalah syarat bagi mendapat pendirian yang teguh sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

"Sesungguhnya serigala itu hanya akan dapat memakan kambing yang tersisih
(dari kumpulannya)".

Masyarakat yang dipenuhi dengan fitnah tidak ubah seperti malam yang gelap-gelita. Manusia tidak mungkin dapat menjalani kehidupan dengan sempurna atau tidak terjejas dengan kesan-kesan kotoran masyarakat tersebut sekiranya tidak menerima peringatan, nasihat dan ingat-memperingati.

Firman Allah yang bermaksud:

Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana
sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang
beriman.
 (Surah Az-Zaariyaat, Ayat: 55).

Allah s.w.t berfirman lagi yang bermaksud:

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesanpesan
dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
(Surah Al-Asr,Ayat: 1 - 3).

Oleh yang demikian mereka mestilah hidup di bawah satu naungan keluarga yang beriman. Mereka mestilah bersama-sama dengan pasukan Tuhan yang Maha Pengasih dan terus hidup bersama mereka buat selama-lamanya.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.
(Surah Al-Kahfi, Ayat: 28).
4. Para petugas amal Islami juga mestilah benar-benar memahami bahawa mereka beramal dengan bekerja semata-mata kerana Allah dan berjihad pada jalannya. Mereka juga mesti memahami bahawa jalan ini adalah jalan yang paling jauh, penuh dengan kesukaran.

Sesungguhnya syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang tidak diingini manakala mereka pula dilingkungi oleh perkara-perkara yang menarik syahwat.Jalan ini merupakan satu jalan yang tidak sanggup dilalui oleh mereka yang hidup dalam suasana mewah, mereka yang bimbang akan kesempitan rezeki dan kemewahan hidup.

Jalan ini juga tidak akan sanggup dilalui oleh orang yang mementingkan kerehatan dan mengikut runtunan nafsu, tidak akan sanggup dilalui oleh orang yang sempit dada dan tidak memiliki kekuatan, tidak akan sanggup dilalui oleh mereka yang tidak sabar menghadapi cemuhan dan cacian, apatah lagi pengorbanan wang ringgit dan harta benda, tidak akan sanggup dilalui oleh mereka yang berpegang dan berkeras dengan pendapat sendiri sahaja sedangkan dia sendiri tidak mengetahui bahawa ia tidak mengerti (kedudukan yang sebenarnya) dan jalan ini juga tidak sanggup dilalui oleh mereka yang tidak bersedia untuk tunduk kepada keputusan jemaah
dan tidak sanggup pula beriltizam dengan pandangan-pandangan jemaah

.Sesungguhnya jalan ini adalah jalan pembersihan jiwa, penyucian hati dan pengawalan diri, jalan kerahmatan dan kemuliaan. Jalan kesabaran dan ketetapan, jalan kebebasan dan kehormatan dan jalan kebenaran dan keikhlasan. Sesungguhnya jalan yang mempunyai sifat-sifat seperti ini tidak akan sanggup dilalui melainkan oleh orang-orang mukmin yang hati-hati mereka mempunyai ikatan yang kukuh dengan Allah yang Maha Esa, yang menggantungkan harapan dan pertolongan kepadanya.Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada
Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).
Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah
telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
(SurahAt-Talaaq, Ayat: 126).

Allah s.w.t berfirman lagi yang bermaksud:

Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya
maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa
yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah
akan memberi kepadanya pahala yang besar.
(Surah Al-Fath, Ayat: 10).

Sahabat pembaca yang budiman,setelah meniliti karangan al-Mujahid Fathi Yakan ini,tentu anda sudah fahami secara menyeluruh tuntutan untuk bekerja demi Islam.

Saya ingin bangkitkan kesedaran buat diri ini dan saudara-saudara sekalian.Musuh-musuh Islam seluruh dunia bekerja siang dan malam demi mencapai satu matlamat yang keji dan hina iaitu untuk menghancurkan islam.. Jadi,adakah kita tenang untuk berdiam diri..??? Hidup menyendiri tanpa memberi sumbangan demi menyelamatkan Islam..??

Justeru,saya mengajak sahabat pembaca yang budiman,berilah sumbangan kepada Islam,walaupun sedikit,semoga istiqomah.Kelak kita akan disoal di akhirat,apakah sumbangan kita untuk Islam sewaktu kita hidup di dunia dahulu.Semoga Allah berkenan untuk menjadikan kita sebahagian daripada tentera agama-Nya.Ya Allah..Peliharalah kami dari hidup yang sia-sia….Amin..



Sumber Rujukan : Maza Ya’ni,karangan Ustaz Fathi Yakan.

Melakar Cinta Firdausi,InniAkhafullah

.::KENALI PIMPINAN PMRAM SESI 2010::.

.::Video Lagu Rasmi PMRAM::.

Related Posts with Thumbnails

Followers

.:: ARMA ADALAH HAK KITA..!! ::.

.:: ARMA ADALAH HAK KITA..!! ::.

.::Zon Chat::.

.::Ahlan Wasahlan::.


MELAKAR CINTA FIRDAUSI