Lailatul Qadar ; Adakah malam tadi..??

Bismillah ar-Rahman ar-Rahim...
Hari ni saya rasa hari yang sangat damai.Hampir waktu zohor tadi cuaca di luar agak redup,angin sepoi-sepoi pun nyaman bertiup.. 10 malam terakhir ini,semua orang sibuk mencari lailatul qadr.Mudah-mudahan Allah berkenan menemukan kita dengan malam 1000 bulan ini.Amin..


Sedikit perkongsian ilmiah pada kali ini. 

Adakah Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadhan?

Lailatul Qadar boleh berlaku pada 27 Ramadhan akan tetapi ia tidak semestinya berlaku pada 27 Ramadhan. Sememangnya merupakan pendapat yang masyhur di kalangan sebahagian umat Islam bahawa Lailatul Qadar jatuh pada 27 Ramadhan. Kemasyhuran ini diulas oleh Yusuf al-Qaradhawi hafizahullah:[1]
Ubay bin Ka‘ab dan Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma berpendapat bahawa Lailatul Qadar adalah malam 27 bulan Ramadhan. Ubay bin Ka‘ab pernah bersumpah akan hal ini kerana alamat-alamat yang dia lihat. Hal ini juga terkenal di kalangan jumhur kaum Muslimin sehinggakan malam itu (malam 27) diperingati dengan peringatan yang rasmi.
Sebenarnya tidak ada yang meyakinkan dalam hal ini.[2] (Wujud) banyak pendapat yang memberikan ketentuan (kepada bilakah malam Lailatul Qadar). Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebut sekurang-kurangnya 46 pendapat dalam hal ini. (Di antara pendapat-pendapat tersebut), sebahagiannya dapat dikembalikan kepada sebahagian yang lain. Yang paling kuat adalah ia berlaku pada malam-malam ganjil daripada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Ia berpindah-pindah (dari tahun ke tahun) sebagaimana yang dapat kita fahami daripada hadis-hadis yang membicarakan masalah ini.

Hikmah tidak ditentukan Lailatul Qadar secara tepat

Hikmah tidak ditentukan Lailatul Qadar secara tepat adalah sebagai motivasi kepada umat Islam untuk sentiasa berusaha menghidupkan kesemua sepuluh malam terakhir dengan ibadah dan doa. Seandainya Lailatul Qadar telah ditetapkan pada malam yang tertentu, nescaya umat Islam akan mengabaikan ibadah dan doa pada malam-malam yang lain. Sekali lagi, penjelasan Yusuf al-Qaradhawi menjadi tumpuan kita:[3]
Milik Allah-lah hikmah kebesaran yang ada di sebalik rahsia-rahsia-Nya. Sekiranya kita mendapat keyakinan bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam tertentu sahaja, tentu semangat kita mengendur di sepanjang Ramadhan dan merasa cukup dengan menghidupkan malam yang ditentukan itu sahaja. Kerahsiaannya merupakan pendorong untuk melakukan amal pada bulan itu seluruhnya dan melipatgandakan amal tersebut pada sepuluh malam terakhir. Ini mengandungi kebaikan yang sangat banyak bagi individu mahupun jamaah.
Hal ini sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala merahsiakan saat yang doa menjadi mustajab pada hari Jumaat agar kita sentiasa berdoa kepada-Nya sepanjang hari Jumaat. Allah juga merahsiakan Nama-Nya yang paling agung yang apabila digunakan pasti akan dikabulkan-Nya, agar kita berdoa dengan menggunakan Nama-Nama baik-Nya (al-Asma al-Husna) secara keseluruhan.[4]

Beberapa alamat Lailatul Qadar

Di dalam beberapa hadis yang sahih ada diterangkan tiga alamat atau tanda bagi mengenal Lailatul Qadar:
1.   Pada malam tersebut bulan terbit seperti potongan bekas simpanan air.[5]
2.   Pada malam tersebut suasana adalah nyaman, tidak panas dan tidak sejuk.[6]
3.   Pada pagi hari selepas Lailatul Qadar, matahari terbit dengan sinaran yang tidak menyilau atau tidak terik.[7]

Tiga alamat di atas adalah benar. Akan tetapi seseorang itu hanya akan dapat mengetahui secara yakin Lailatul Qadar setelah berakhirnya bulan Ramadhan dengan menganalisa kesemua sepuluh malam terakhir berdasarkan alamat-alamat di atas. Ini kerana alamat-alamat di atas mungkin wujud secara berbeza-beza di antara malam yang berbeza-beza. Sebagai contoh, malam 21 mungkin memiliki alamat sinaran matahari yang tidak terik pada pagi harinya, malam 23 mungkin memiliki alamat suasana yang nyaman, malam 25 mungkin memiliki suasana yang lebih nyaman berbanding malam 23, malam 27 mungkin disinari dengan bulan yang terbit seperti potongan bekas simpanan air manakala malam 29 mungkin memiliki kesemua tiga alamat sekali gus.

Tujuan diterangkan alamat-alamat Lailatul Qadar bukanlah untuk menetapkan malam yang tertentu tetapi sebagai sumber motivasi untuk terus beramal dalam rangka mencari Lailatul Qadar.

Apa yang seharusnya dilakukan pada Lailatul Qadar?

Mulai sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, seseorang itu hendaklah memperbanyakkan solat malamnya. A’isyah radhiallahu 'anha menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam apabila memasuki sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan, beliau mengasingkan diri daripada para isterinya (tidak bersetubuh) dan menghidupkan waktu malam dengan qiamulail. Baginda juga membangunkan keluarganya untuk turut berqiamulail.[8]

Di samping itu dianjurkan untuk memperbanyakkan doa, khasnya dengan memohon keampunan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. A’isyah radhiallahu 'anha menerangkan bahawa dia pernah bertanya:

“Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu apabila aku mendapati salah satu malam daripada Lailatul Qadar, apakah yang sepatutnya aku ucapkan?” Rasulullah menjawab:

“Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku.”[9]

Demikian pengenalan yang dapat penulis berikan kepada para pembaca sekalian berkenaan Lailatul Qadar. Ringkasnya ia adalah satu malam teristimewa yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada kita umat Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Lailatul Qadar berlaku pada salah satu daripada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Sengaja tidak ditentukan secara tepat Lailatul Qadar untuk memberi motivasi kepada umat Islam untuk sentiasa menghidupkan sepuluh malam yang terakhir tersebut dengan qiamulail dan doa, bukan dengan nyalaan lampu. Malam 27 Ramadhan bukanlah Lailatul Qadar akan tetapi ia adalah salah satu daripada sepuluh malam yang mungkin berlakunya Lailatul Qadar. 
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
RUJUKAN

[1]               Fiqh al-Siyam (edisi terjemahan oleh Ma’ruf Abdul Jalil dan rakan-rakan dengan judul Fiqh Puasa; Era Intermedia, Solo 2001), ms. 176.
[2]               Di sini al-Qaradhawi bukannya menolak keterangan Ubay bin Ka‘ab dan Ibn ‘Abbas kerana apa yang disebut oleh kedua-dua sahabat yang mulia tersebut hanya benar bagi tahun yang mereka alaminya. Ia tidak boleh dijadikan dalil yang menetapkan secara mutlak kerana Lailatul Qadar sentiasa berubah-ubah dari tahun ke tahun.
[3]               Fiqh al-Siyam, ms. 176-177
[4]               Antara adab berdoa yang dianjurkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah ialah berdoa dengan menyebut Nama-Nama Allah. Lebih lanjut rujuk buku Kaedah Memahami Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah oleh Mohd. Yaakub Mohd. Yunus terbitan Jahabersa, Johor Bahru 2004.
[5]               Rujuk Shahih Muslim – hadis no: 1170 (Kitab puasa, Bab keutamaan Lailatul Qadar……)
[6]               Rujuk Shahih al-Jami’ al-Shagheir – hadis no: 5475.
[7]             Rujuk Shahih Muslim – hadis no: 762 (Kitab Solat Musafir, Bab anjuran bersolat pada malam Ramadhan……)
[8]             Rujuk Shahih Muslim – hadis no: 1174 (Kitab Iktikaf, Bab bersungguh-sungguh pada sepuluh malam terakhir……)
[9]             Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 3119 (Kitab Doa).

Melakar Cinta Firdausi,InniAkhafullah
0 Responses

.::KENALI PIMPINAN PMRAM SESI 2010::.

.::Video Lagu Rasmi PMRAM::.

Related Posts with Thumbnails

Followers

.:: ARMA ADALAH HAK KITA..!! ::.

.:: ARMA ADALAH HAK KITA..!! ::.

.::Zon Chat::.

.::Ahlan Wasahlan::.


MELAKAR CINTA FIRDAUSI